Kasihnya seorang ayah…

Kubang Pasu: Walaupun uzur dan tidak kuat untuk berjalan namun seorang bapa berusia 87 tahun membuktikan kasihnya tiada batas apabila sanggup hadir di majlis persaraan anaknya yang bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu.

Noor Laily Md Salleh, 60, seorang Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) di PPD berkenaan, berkata dia tidak menyangka bapanya Md Salleh Hashim, sanggup berjalan perlahan-lahan masuk ke dewan yang ketika itu sedang berlangsung majlis persaraannya kelmarin.

Inilah kejutan yang paling bermakna dalam hidup saya

“Saya sudah dimaklumkan bapa akan hadir namun tidak sangka dia sanggup berjalan masuk ke dewan biarpun kakinya bengkak dan sakit.

“Berlinang air mata saya apabila melihat dia berjalan masuk ke dewan, setelah beberapa langkah, seorang rakan berjaya memujuknya menaiki kerusi roda, ia menyebabkan suasana dewan bertukar menjadi hiba dengan tindak balas spontan saya berjalan sambil menangis pergi kepada bapa saya,” katanya.

“Ayah, Md Salleh Hashim sudah uzur dan kini berkerusi roda

Bercerita lanjut, Noor Laily, berkata bapanya seorang pesara guru besar di sebuah sekolah, bersemangat datang ke majlis persaraannya selepas beberapa kali terlepas untuk menghadiri majlis graduasinya ketika belajar di maktab termasuk di United Kingdom (UK) sebelum ini.

Anak ketiga daripada enam beradik ini menjangkakan bapanya itu hanya menunggunya di pejabat untuk melihat beliau mengetik kad perakam waktu keluar hari terakhirnya di PPD.

“Saya antara anak paling rapat dengan bapa. Sewaktu remaja dulu saya berkelakuan ala budak lelaki, ke mana bapa pergi saya akan ikut, kemudian dia yang menggalakkan saya menjadi guru dan sanggup membawa saya pergi mengambil borang untuk menyambung belajar di maktab dan seterusnya di UK.

“Dia banyak berkorban untuk saya malah hari ini dia sanggup menahan sakit dan berjalan sedangkan di rumah dia tidak mampu berjalan seperti itu, betapa kuat semangat bapa saya untuk melihat hari terakhir saya di pejabat,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru.

Kehadiran Md Salleh pada majlis persaraan anaknya itu turut meninggalkan momen indah apabila berpeluang menyaksikan Cikgu Noor Laily ‘punch out’ kad perakam waktu pada hari terakhirnya.

Selain ahli keluarga Cikgu Noor Laily, tetamu lain yang turut hadir ialah Pegawai PPD Kubang Pasu, Mahadzir Ismail; pegawai-pegawai PPD dan rakan guru dari SMK Pulau Nyior.

Terdahulu, Cikgu Noor Laily telah berada dalam dunia pendidikan selama 38 tahun dan pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah.

Antaranya SK Pedu, SK Megat Dewa, SK Jitra, SMK Megat Dewa dan SMK Pulau Nyior dan yang terakhir di PPD Kubang Pasu.

Didoakan semoga Cikgu Noor Laily terus cemerlang dan sentiasa bahagia di sisi keluarga tercinta.

Jasa dan sumbangan cikgu akan dikenang sampai bila-bila dan hanya Allah  yang mampu membalasnya.


 

Sumber: HMetro, GPSBestari

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Seni Hiburan

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*