
SHAH ALAM – Cuti umum sehari akan diberikan sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran tambahan itu bagi memboleh pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin.
Katanya, beliau mengetahui keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau tempat lain daripada tempat tinggal mereka.
“Jadi, saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu (19November) nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad (20 November) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
“Hari Isnin (21November) bagi negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tawaran PN Best di sini, hari ini.
Muhyiddin menegaskan, tawaran PN adalah tawaran yang boleh dilaksanakan dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan sebelum ini.
Tambah beliau, sebuah Jawatankuasa Khas dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung tawaran PN Best sebagai bukti komitmen PN terhadap pelaksanaan tawaran itu.
PN Best dengan bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.
PN nilai semula pengeluaran KWSP bersasar
Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menilai semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dinilai berdasarkan jumlah baki simpanan pencarum yang memohon untuk lakukan pengeluaran berkenaan.
“Baru-baru ini saya ada mengeluarkan video menerusi Tiktok dan antara perkara berbangkit minta saya benarkan sekali lagi pengeluaran KWSP.
“InsyaALLAH, bila kita menang (PRU15) antara perkara akan lihat semula adalah (pengeluaran) KWSP bersasar.
“Kalau kita lihat sebelum ini dah benarkan beberapa kali pengeluaran (contohnya) i-Sinar dan i-Lestari yang pada mulanya agak sukar tapi selepas itu dipersetujui,” katanya ketika Sesi Townhall PN selepas Majlis Pelancaran Tawaran PN (PN BEST) pada Ahad.
Manifesto: PN tawar kerajaan prihatin, bersih, stabil
Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ atau PN Best itu juga turut menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.
Jelas Muhyiddin, tunjang lain yang digariskan adalah mensejahterakan bumiputera, orang asli sn semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.
Turut ditawarkan adalah memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda, mengoptimumkan potensi wanita dan membina warga emas yang sejahtera.
“Selain itu, memperkasakan orang kelainan upaya (OKU), memperkasakan generasi felda dan mentransformasi, petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.
“Ini adalah tawaran-tawaran utama PN. Tawaran lengkap yang mengandungi semua inisiatif yang akan dilaksanakan terkandung di dalam dokumen Tawaran Perikatan Nasional PN BEST,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran PRU15 PN di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
Tambah calon Parlimen Pagoh itu lagi, kesemua kandungan itu disusun Jawatankuasa Tawaran PN yang dipengerusikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Jelasnya, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.
“Di peringkat awal penggubalan tawaran ini, saya telah memberi mandat kepada Jawatankuasa Tawaran supaya terlebih dahulu meneliti apakah keperluan-keperluan utama rakyat yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum nanti.
“Melalui kajian-kajian yang saya sendiri teliti, keperluan utama rakyat adalah tidak lain dan tidak bukan menyentuh tentang isu ‘bread and butter’ iaitu isu-isu ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.
Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi, 12 tvnjang itu merupakan antara perkara pokok yang mesti diberikan perhatian utama oleh PN apabila mendapat mandat rakyat dalam PRU15.
“Saya ingin tegaskan bahawa Tawaran Perikatan Nasional ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan.
“Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta,” katanya.
Sumber: KOSMO! ONLINE, Sinar Harian
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Seni Hiburan
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Leave a Reply